Saturday, October 16, 2010

Pengertian Doa, Selawat, Zikir dan Hizib

Secara bahasa doa mempunyai pengertian menyeru, meminta dan mendakwa. Adapun menurut istilah berdoa mempunyai maksud: 'Memohon atau meminta sesuatu yang baik daripada Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah dengan menggunakan bahasa yang diperbolehkan dan adab-adab yang baik sesuai dengan ketentuan syarak.'
 
Dengan demikian tidak diambilkira sebagai doa sekiranya ada orang yang memohon kepada Allah s.w.t. dengan menggunakan bahasa-bahasa yang bercanggah dengan syarak, contohnya dengan menyeru nama-nama Jin atau nama-nama makhluk. Bagaimanapun adalah diharuskan untuk berdoa dengan apa bahasa pun, asalkan tidak mengandungi unsur-unsur syirik yakni menduakan Allah s.w.t.
 
Adapun selawat pula secara bahasa bererti kesejahteraan. Menurut istilah pula selawat adalah mememohonkan kesejahteraan dan keselamatan kepada Allah s.w.t. ke atas junjungan dan penghulu sekalian makhluk iaitu Nabi Muhammad bin Abdullah s.a.w. Biasanya selawat ini juga diiringi ke atas para keluarga, sahabat dan seluruh pengikut Baginda s.a.w.
 
Zikir menurut bahasa bererti mengingati. Menurut istilah pula, zikir bermaksud mengingati Allah s.w.t. bilamana dan di mana sahaja berada dengan cara-cara yang dibolehkan oleh syarak seperti menerusi ucapan perbuatan atau dengan hati.
 
Hizib pula menurut bahasa bermakna bahagian, golongan, pertolongan, wirid dan senjata. Menurut istilah pula hizib boleh diertikan beberapa bacaan wirid yang merupakan sebahagian doa untuk diamalkan oleh kaum muslimin sebagai senjata atau pendinding diri dari berbagai kejahatan samada yang datang dari manusia, jin syaitan atau makhluk lain.
 
Dengan demikian sebenarnya antara doa, selawat, zikir dan hizib adalah mempunyai hubungkait yang rapat di antara satu sama lain. Semua itu adalah salah satu bentuk ikhtiar atau usaha manusia agar sentiasa dalam keadaan baik, selamat dan sejahtera di bawah naungan Allah s.w.t. dengan cara-carayang diredhai.

No comments:

Post a Comment